
MCMC LAKSANA 37 SESI LIBAT URUS BERSAMA PLATFORM MEDIA
SOSIAL DAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEJAK ENAM BULAN LALU
CYBERJAYA, 26 Mei 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
telah melaksanakan beberapa siri sesi libat urus dan perbincangan bersama pelbagai
pihak berkepentingan termasuk platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha
berterusan Malaysia untuk memperkukuh keselamatan dalam talian serta melindungi
kanak-kanak daripada kandungan dan interaksi memudaratkan.
Libat urus ini memberi tumpuan kepada langkah pengurangan dan moderasi proaktif
terhadap kandungan memudaratkan dalam talian termasuk bahan penderaan seksual
kanak-kanak (Child Sexual Abuse Material – CSAM), penipuan, buli siber dan pelbagai
bentuk kemudaratan lain.
PERLINDUNGAN AKAUN
Perbincangan turut meliputi pelaksanaan langkah pengesahan
umur, kawalan ibu bapa, perlindungan akaun dan akauntabiliti platform.
Usaha berterusan ini turut menyumbang kepada penguatkuasaan Akta Keselamatan
Dalam Talian 2025 (Online Safety Act 2025 – ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari
2026, dengan memperkukuh penyedia platform dalam menangani kandungan
memudaratkan serta meningkatkan keselamatan pengguna di Malaysia.
ONSA berfungsi
seiring dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam memperkukuh
langkah keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak, pelaksanaan
pengesahan umur dan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial.
Langkah-langkah ini bertujuan mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat
dan bersesuaian dengan umur bagi golongan muda, dengan penekanan terhadap
pengawasan ibu bapa, perlindungan platform yang lebih kukuh serta reka bentuk
platform yang lebih bertanggungjawab.
Sehingga kini, MCMC telah melaksanakan 37 sesi libat urus melibatkan penyedia
platform, agensi penguatkuasaan, pengesah pihak ketiga dan pelbagai pihak
berkepentingan.
Daripada jumlah tersebut, enam (6) sesi diadakan sebelum
penguatkuasaan ONSA, manakala 31 sesi lagi dilaksanakan selepas akta tersebut berkuat
kuasa, termasuk melalui inisiatif Regulatory Sandbox yang memberi fokus kepada
kesiapsiagaan pelaksanaan dan langkah pengesahan umur.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan oleh MCMC termasuk lawatan kerja dan
perbincangan teknikal di Singapura melibatkan penyedia platform utama.
Libat urus
tersebut disertai wakil daripada Kementerian Komunikasi, MCMC, Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dengan fokus kepada
pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform, pengesahan umur dan moderasi
kandungan memudaratkan.
Susulan itu, MCMC telah memulakan inisiatif regulatory sandbox pada Januari 2026 bagi
menilai pendekatan pelaksanaan langkah pengesahan umur yang melibatkan agensi
kerajaan, platform dan rakan ekosistem pengesahan.
Garis Masa Sesi Libat Urus
November 2025 Libat urus melibatkan pemain industri, platform, agensi kerajaan, NGO,
CSO, akademia dan organisasi antarabangsa yang memberi fokus kepada
skop instrumen subsidiari ONSA serta kesiapsiagaan operasi menjelang
penguatkuasaan ONSA, termasuk langkah keselamatan kanak-kanak dan
langkah pengurangan risiko.
Disember 2025
Libat urus susulan bersama pihak berkepentingan berkaitan instrumen
subsidiari yang dicadangkan serta kesiapsiagaan pelaksanaan di bawah
ONSA.
Januari 2026
Sesi libat urus bagi memperkenalkan inisiatif Regulatory Sandbox serta
perbincangan berkaitan pelaksanaan pengesahan umur dan kawalan
kandungan memudaratkan melibatkan penyedia platform dan pengesah
pihak ketiga.
Februari 2026
Libat urus bersama agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan
menerusi Pasukan Petugas Regulatory Sandbox dan Sesi Taklimat
Teknikal.
April 2026
Sesi libat urus bersama penyedia platform dan pengesah pihak ketiga bagi
menyokong pelaksanaan yang lancar dan pematuhan keperluan
pengesahan umur.
Mei 2026
Libat urus berterusan bersama penyedia platform dan pengesah pihak
ketiga dijalankan bagi menyelaras pelaksanaan langkah pengesahan umur
serta kesiapsiagaan pematuhan.
Jadual 1:
Libat Urus Bersama Pihak Berkepentingan dan Platform Berkaitan Langkah
Perlindungan Kanak-Kanak
Siri libat urus yang dilaksanakan sepanjang November dan Disember 2025 memberi
tumpuan kepada sesi penerangan kepada pihak berkepentingan mengenai skop
instrumen subsidiari di bawah ONSA, mendapatkan pandangan serta maklum balas
berkaitan pelaksanaan bagi memastikan langkah-langkah yang dicadangkan bersifat
praktikal, seimbang dan boleh dilaksanakan, di samping menyokong tahap kesiapsiagaan
ekosistem menjelang penguatkuasaan ONSA.
Seterusnya, sesi libat urus yang dijalankan menerusi inisiatif Regulatory Sandbox sejak
Januari 2026 memberi fokus kepada penyelarasan pihak berkepentingan berkaitan
keperluan pengesahan umur dan kawalan kandungan memudaratkan, selain mengenal
pasti pertimbangan operasi, teknikal dan pematuhan bagi menyokong kesiapsiagaan
platform sebelum pelaksanaan.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC
