
30 April 2026
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan pertemuan
dua hala dengan TYT Juraj Blanár, Menteri Luar Negeri dan Hal Ehwal Eropah Republik Slovak di
Putrajaya pada 29 April 2026.
TYT Blanár berada di Malaysia dalam rangka Lawatan Kerja beliau selama
dua hari pada 28 dan 29 April 2026.
Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri menyatakan komitmen untuk mengeratkan kolaborasi
antara Malaysia dan Republik Slovak, di samping meneroka peluang untuk terus memperkukuh hubungan
dua hala.
Perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan
pelaburan; kerjasama pertahanan; pendidikan; ketahanan rantaian bekalan; industri automotif; tenaga
bersih serta pengurusan air.
Kedua-dua Menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan
Malaysia–Kesatuan Eropah serta perkembangan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan
bersama.
Kedua-dua Menteri juga bersetuju agar Konsultasi Dua Hala yang pertama di peringkat Pegawai-Pegawai
Kanan antara Kementerian Luar Negeri kedua-dua negara dapat diadakan pada tahun ini sebagai
sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh libat urus antara institusi kedua-dua negara.
Sebelum itu, TYT Blanár telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, di Parlimen Malaysia.
TYT Blanár turut merasmikan pembukaan semula
Kedutaan Besar Republik Slovak di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2025, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dengan Republik Slovak bernilai RM1.22
bilion, dengan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM575.07 juta.
Eksport utama
Malaysia ke Republik Slovak merangkumi barangan elektrik dan elektronik; jentera, kelengkapan dan alat
ganti; serta barangan logam.
Import utama Malaysia dari Republik Slovak pula meliputi jentera,
kelengkapan dan alat ganti; barangan elektrik dan elektronik; serta kelengkapan pengangkutan.
Putrajaya
30 April 2026
