JPJ Perlis sita Lamborghini Revuelto RM2.3 juta tamat cukai jalan, tiada insurans

Oleh: Sholina Osman
Foto: JPJ Perlis
24 APRIL 2026

Mampu beli kereta mewah dengan harga berjuta, tapi gagal untuk memperbaharui cukai jalan dan insurans.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis tidak membiarkan pemilik kereta mewah yang degil ini apabila terbaharu telah menyita sebuah Lamborghini Revuelto yang dianggarkan bernilai RM2.3 juta.

Pengarahnya Noraini Mohd Nawi berkata kereta mewah ini disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak mempunyai perlindungan insurans.

“Kereta mewah berkenaan dikesan dalam satu operasi harian di sekitar Jalan Kuala Perlis – Changlun, baru-baru ini,” kata Noraini dalam kenyataan media hari ini.

DIDAPATI MELAKUKAN KESALAHAN

Beliau berkata kenderaan tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati kenderaan tersebut melakukan
kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tidak
mempunyai perlindungan insurans,” kata beliau.

Noraini menjelaskan tindakan sitaan telah dilaksanakan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.

ENAM BUAH KENDERAAN

“Direkodkan dari Januari hingga kini, sebanyak enam buah kenderaan mewah telah disita,” tambah beliau.

Noraini berkata sebahagian pemilik kenderaan mewah yang gagal
membayar LKM telah menyebabkan berlakunya ketirisan hasil yang banyak kepada kerajaan memandangkan nilai lesen bagi sesebuah kenderaan mewah adalah tinggi.

“JPJ Negeri Perlis ingin mengingatkan
bahawa kegagalan memperbaharui cukai jalan dan insurans merupakan satu kesalahan serius yang bukan sahaja melanggar peruntukan undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” kata beliau.

PEMILIK KENDERAAN MEWAH

Sehubungan itu, kata Noraini semua pemilik kenderaan, termasuk pemilik kenderaan mewah, diingatkan agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan diperbaharui dan dikemas kini sebelum tamat tempoh.

Orang ramai juga diingatkan agar tidak menunggu sehingga tindakan
penguatkuasaan diambil, sebaliknya hendaklah sentiasa mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan.

Sebarang aduan trafik dan lain-lain aduan boleh disalurkan melalui
Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA), e-Aduan@JPJ (MyJPJ), emel: p.perlis@jpj.gov.my atau talian: 04-976 0097 dengan
menyertakan butiran lengkap aduan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *