

21 April 2026 (Selasa) – Pejabat Pengarah Penjara Negeri Sarawak telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi SUHAKAM Malaysia yang diketuai oleh Tuan Dahim anak Nadot, Pesuruhjaya SUHAKAM.
Turut hadir mewakili pihak SUHAKAM Malaysia ialah Puan Hezrina Ibrahim, Ketua Penolong Setiausaha Pejabat SUHAKAM Sarawak; Encik Sophian bin Osman dan Encik Franky anak Philip, Penolong Setiausaha Pejabat SUHAKAM Sarawak.
Kunjungan ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara SUHAKAM Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia, di samping menjadi platform perbincangan berkaitan isu-isu hak asasi manusia dalam pengurusan institusi penjara. Selain itu, sesi ini turut membuka ruang untuk perkongsian maklumat semasa berkenaan aspek kebajikan banduan, perjawatan serta kapasiti penjara-penjara di Negeri Sarawak.
Delegasi SUHAKAM Malaysia telah disambut oleh TKP Teyun Thian Eim, Pengarah Penjara Negeri Sarawak. Turut hadir ialah PP Saiful bin Mohamad, Ketua Bahagian Keselamatan dan Koreksional; KIP Zaini bin Ibrahim, Ketua Unit Rawatan; serta KIP Kesuma binti Ahmad, Ketua Unit Layanan.
Kunjungan hormat ini berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan. Jalinan kerjasama yang terjalin diharap akan terus diperkukuh demi menyokong usaha memperkasa tadbir urus institusi yang lebih telus, inklusif dan berintegriti.
Semoga hubungan strategik ini terus mekar dan menjadi pemangkin kepada kolaborasi berterusan dalam mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif, berdaya tahan dan berorientasikan kesejahteraan rakyat.
