YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS RESEPSI ANAK PENGERUSI EKSEKUTIF ASTAKA PADU

18 April 2026

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis resepsi anak kembar perempuan Dato’ Dr Daing A Malek Daing A Rahaman, Pengerusi Eksekutif Astaka Padu.

Dato’ Dr Daing A Malek juga merupakan ahli Jumaah Majlis DiRaja Johor.

Berangkat sama, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.

Turut berangkat, YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim dan suami, Dato’ Dennis Muhammad Abdullah.

Majlis perkahwinan pasangan Daeng Aishah dan Fattah Harith serta Daeng Aminah dan Imran Tan berlangsung di Rimbunan @ Forest City Golf Hotel, Gelang Patah hari ini (18 April).

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Dato’ Dr Daing A Malek dan isteri serta keluarga sebelum mengiringi ke bilik menunggu bagi acara persembahan cendera kenangan.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan montaj video majlis pernikahan yang berlangsung pada 25 Disember tahun lalu dan acara memotong kek selepas majlis santapan selesai.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *