PEKERJA GIG DI SARAWAK KINI DILINDUNGI AKTA BAHARU MULAI 31 MAC 2026

KUCHING, 6 April – Pekerja gig di Sarawak disaran menghubungi pejabat Jabatan Tenaga Kerja, JTK Sarawak yang berhampiran.

Ini bagi memastikan golongan pekerja gig mendapat maklumat dan memahami hak masing-masing di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), berkuat kuasa 31 Mac lalu.

JTK Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan akta baharu itu penting bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja gig, termasuk penghantar makanan, pemandu e-hailing serta pekerja bebas digital, terus terpelihara selaras perkembangan ekonomi semasa.

Akta tersebut memfokus kepada tiga perkara utama iaitu perlindungan sosial, keadilan melalui tribunal dan pengukuhan harmoni industri.

Di bawah aspek perlindungan sosial, pekerja gig bakal menikmati jaringan keselamatan yang lebih baik termasuk perlindungan kebajikan dan sokongan sekiranya berlaku kemalangan.

Selain itu, penubuhan tribunal khas di bawah akta itu menyediakan satu platform perundangan yang adil dan lebih mudah diakses, bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara pekerja dan penyedia platform.

Dalam masa sama, akta tersebut turut menggalakkan hubungan kerja yang lebih seimbang dan harmoni antara kedua-dua pihak, sekali gus menyumbang kepada kestabilan industri gig di Sarawak.

DEBBIE AMANDA

rtmsarawaknews

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *