IWK siap siaga pastikan sistem pembetungan beroperasi dengan cekap musim perayaan – Fadillah

Wartawan JM
24 MAC 2026

Kementerian Peralihan Tenaga dan
Transformasi Air (PETRA) melalui agensi di bawahnya, Indah Water
Konsortium (IWK) Sdn Bhd sentiasa bersiap siaga sepanjang masa,
termasuk ketika musim perayaan seperti sekarang, bagi memastikan
semua aset pembetungan awam di bawah selengaraan IWK beroperasi
dengan cekap demi kesejahteraan alam sekitar dan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata syarikat pembetungan nasional ini menyelenggara kira-kira 7,767 Loji
Rawatan Kumbahan awam dan 1,564 Stesen Pam Kumbahan di bawah
kelolaannya serta 23,550 kilometer panjang paip pembetungan bawah
tanah, yang memberi perkhidmatan kepada 32 juta penduduk setara di
Semenanjung.

Beliau berkata bagi memastikan aset pembetungan berada pada tahap optimum, IWK melaksanakan pemantauan berterusan, penyelenggaraan berkala,
pemeriksaan tapak, dan tindakan pembaikan segera sekiranya berlaku
kerosakan.

DENGAN SEBARANG ADUAN

“Pasukan operasi IWK juga sentiasa bersedia dengan sebarang aduan di
lapangan, dan sedia dengan peralatan khas seperti sistem amaran awal,” kata beliau dalam kenyataan mediq.

Beliau berkata malah tenaga kerja sokongan juga dipertingkatkan bagi menangani sebarang insiden termasuk sumbatan atau sekatan paip, kerosakan pam, limpahan, atau isu bau.

“Langkah proaktif ini merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan pembetungan, mencegah kacau ganggu kepada keselesaan rakyat terutamanya sepanjang tempoh perayaan, selaras dengan usaha PETRA bagi memastikan kesejahteraan
masyarakat dan alam sekitar sentiasa diutamakan,” kata Fadillah.

TALIAN KHIDMAT PELANGGAN

Bagi pengguna yang ingin membuat aduan, boleh hubungi melalui
care@iwk.com.my atau talian khidmat pelanggan IWK 03-2083 2828 –
sama ada melalui panggilan telefon (8.00 pagi – 11.00 malam) atau
WhatsApp (24 jam).

Pada masa yang sama, kata Fadillah dalam meneruskan komitmen kepada
masyarakat, IWK juga meneruskan program rebat khas kepada
pelanggan yang tergolong dalam eKasih.

“Sehingga Disember 2025 , IWK
telah membelanjakan lebih RM1.1 juta untuk menampung rebat bil
pembetungan kepada pelanggan berdaftar dengan eKasih, sekali gus
mencerminkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan,” tambah beliau.

PROGRAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, kata beliau IWK juga terus memperkukuh program tanggungjawab sosial korporatnya yang memberi manfaat langsung kepada komuniti, melalui program Sahabat Sekolah IWK dan Sahabat Istimewa IWK.

Jelas beliau Program Sahabat Sekolah IWK merupakan program yang menyantuni pelajar sekolah dalam usaha untuk menyemai kesedaran akan kepentingan sistem pembentungan negara demi kelestarian alam sekitar.

“Tahun lepas, seramai 21,000 pelajar sekolah yang telah mendapat
manfaat daripada program ini,” kata beliau.

MEMBERI FOKUS KEPADA

Bagi Program Sahabat Istimewa IWK pula, program ini memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti kelainan upaya (OKU) melalui pendekatan inklusif, memperkasakan keupayaan dan keyakinan diri, serta membuka peluang golongan berkaitan terlibat aktif dalam masyarakat.

PETRA sentiasa percaya perkhidmatan utiliti yang baik harus dipadankan dengan komitmen sosial berterusan kerana melalui inisiatif-inisiatif ini, usaha pembangunan masyarakat setempat dapat terus diperkasakan demi kesejahteraan rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *