KPDN Johor ambil tindakan proaktif aduan kenderaan isi petrol RON95 guna tong plastik

Wartawan JM
24 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Johor telah mengambil tindakan proaktif berhubung tular sebuah kenderaan dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak di sebuah stesen minyak di sekitar Skudai, Johor pada 21 Mac 2026.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan meliputi semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan media.

PASUKAN PENGUATKUASA KPDN

Dalam pemeriksaan tersebut, kata Lilis Saslinda pasukan penguatkuasa KPDN telah turun padang bagi menjalankan siasatan dengan pihak pengurusan stesen minyak dan memberikan peringatan agar sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Jelas beliau KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan
mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, kata beliu satu tindakan kes telah diambil di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabit kesalahan boleh didenda seperti berikut :
i. Individu: Denda tidak melebihi RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi
RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya.
ii. Syarikat: Denda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *