Malaysia simpati, sokong Qatar dan Bahrain hadapi konflik Timur Tengah

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 MAC 2026

Malaysia menyatakan simpati dan sokongan kepada Qatar dan Bahrain yang sedang berdepan ancaman terhadap kedaulatan, infrastruktur dan keselamatan negara, akibat tindakan balas Iran terhadap serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghargai usaha Kerajaan Qatar dan Bahrain dalam menjamin keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia yang berada di kedua-dua negara tersebut.

“Kami sependapat agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan serantau,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

MENERUSI PANGGILAN TELEFON

Terdahulu Anwar berbual menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, kemudian dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, HRH Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa.

“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di Qatar dan Bahrain serta rantau Timur Tengah, susulan konflik yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran,” kata Anwar.

Beliau berharap semoga di bulan Ramadan yang mulia ini akan memperkukuh perpaduan ummah dan membuka ruang kepada keamanan serta kestabilan yang lebih berkekalan di rantau ini dan seluruh dunia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *