

SELANGAU, 11 FEB – Kompleks Mini Sukan Selangau bernilai RM11.5 juta dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2027 selepas projek berkenaan disusun semula berikutan beberapa kekangan sebelum ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek yang pada asalnya dirancang selepas tempoh pandemik COVID-19 itu mengalami kelewatan akibat isu tapak, reka bentuk serta masalah kewangan kontraktor terdahulu yang tidak dapat meneruskan pelaksanaan.
Bagaimanapun jelasnya, projek itu telah diserahkan kepada kontraktor baharu pada November tahun lalu dan tempoh pelaksanaannya dianggarkan sekitar dua tahun.
“Kompleks mini sukan ini akan ada running track, padang bola yang mengikut piawaian Olympic dan juga FIFA dan selain daripada itu ada grandstand yang boleh memuatkan 300 penonton untuk acara balapan dan athletic, tapi kita akan melihat kerana saya mahu melihat ada penambahan itu kita boleh atur kemudian,” katanya.
Ujarnya, kos projek berkemungkinan meningkat sedikit susulan permintaan wakil rakyat serta penduduk setempat yang mahu kemudahan tersebut dilengkapi pagar bagi mengelakkan vandalisme dan pencerobohan.
Dalam usaha menjadikan kompleks itu lebih komprehensif, pihak berkenaan turut merancang penambahan prasarana sukan lain seperti gelanggang futsal serta beberapa kemudahan tambahan agar tidak terhad kepada satu jenis sukan sahaja.
Inisiatif itu dilihat mampu merancakkan pembangunan sukan komuniti setempat dengan sasaran menyediakan sekurang-kurangnya empat hingga lima jenis kemudahan sukan, sekali gus memberi manfaat kepada atlet dan penduduk sekitar.
Pembangunan kompleks berkenaan juga diharap menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat serta melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam arena sukan di kawasan Selangau.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pecah Tanah Selangau Mini Sports Complex di Dewan Serbaguna Selangau.
Deen
