STOK DARAH KRITIKAL MENJELANG MUSIM PERAYAAN, HOSPITAL MIRI RAYU PENDERMA KUMPULAN DARAH O DAN B PALING DIPERLUKAN

MIRI, 8 Feb β€” Hospital Miri kini berdepan kekurangan stok darah berikutan peningkatan musim perayaan Tahun Baharu Cina serta ketibaan bulan Ramadan, yang dijangka menjejaskan jumlah penderma darah.

Sehubungan itu, orang ramai diseru tampil menderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi, khususnya untuk kegunaan kecemasan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata keperluan darah adalah berterusan dan stok sedia ada digunakan secara intensif oleh hospital, terutama dalam tempoh perayaan apabila orang ramai sibuk dengan komitmen masing-masing.

β€œKetika ini, terdapat dua kumpulan darah yang berada pada tahap kekurangan iaitu kumpulan O dan kumpulan B.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kempen Derma Darah Prihatin Komuniti 2026 yang berlangsung di Boulevard Shopping Mall Miri hari ini, hasil inisiatif bersama Persatuan Prihatin Masyarakat Miri dan Miri Lee Clan Association Youth Section, dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Dalam kempen tersebut, seramai 107 individu mendaftar dengan 90 penderma berjaya direkodkan, manakala lebih 20 pint darah berjaya dikumpulkan setakat tengah hari.

Menurut pihak hospital, darah yang didermakan digunakan untuk rawatan pesakit kritikal, pembedahan, kemalangan serta pesakit talasemia, selain turut disalurkan kepada pesakit di Limbang dan Lawas.

Justeru, beliau menggalakkan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan kelab untuk bekerjasama dengan Tabung Darah Hospital Miri dalam menganjurkan kempen derma darah, di samping mengalu-alukan orang ramai untuk menderma terus di Pusat Tabung Darah Hospital Miri pada hari bekerja.

Catherine

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *