PUSAT PENGEMBANGAN AL-QURAN DARUL HANA BAKAL MEMBERI MANFAAT UNTUK SEMUA, PLATFORM ILMU BAHARU

SERIAN, 5 Feb — Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana akan dibina di sebuah bangunan yang terletak di Petra Jaya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis, pembinaan fasiliti berkenaan akan menjadi platform melahirkan ilmu baharu yang berteraskan Al-Quran.

Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat besar kepada umat Islam, malah turut memberi faedah kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Semoga ia dapat melahirkan ilmu baharu yang berteraskan Al-Quran. Di samping itu, ia bukan hanya untuk umat Islam, malah dikongsi bersama masyarakat bukan Islam, kerana ilmu tidak mempunyai sempadan dan boleh dimanfaatkan oleh semua kaum, seperti Ibnu Khaldun.” katanya.

Premier mendedahkan, ketika ini lokasi sementara Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana terletak di Pejabat Majlis Islam Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Kali Ke-65 Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Serian, malam tadi.

Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata, penubuhan Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana akan menjadi mercu tanda kecemerlangan Al-Quran di negeri ini.

Beliau menambah, pusat berkenaan diharap mampu melahirkan generasi Qurani yang berwibawa dan berupaya memimpin ummah ke arah masa depan yang lebih gemilang.

DEBBIE AMANDA
FOTO: JAPEN

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *