AIRASIA TAMBAH PENERBANGAN TAMBAHAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA DAN HARI RAYA AIDILFITRI

KUCHING, 4 Feb – AirAsia akan menambah penerbangan tambahan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, bagi menampung peningkatan permintaan perjalanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, bagi tempoh Tahun Baharu Cina, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 23 penerbangan tambahan bermula 13 hingga 24 Februari, manakala 25 penerbangan tambahan akan disediakan dari 18 hingga 26 Mac sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, tempoh perayaan merupakan masa yang amat bermakna buat keluarga, dan penambahan penerbangan itu akan membantu rakyat Sarawak yang bekerja atau melanjutkan pengajian di luar negeri untuk pulang ke kampung halaman, bagi meraikan perayaan bersama keluarga tersayang.

Dato Sri Lee berkata demikian dalam satu kenyataan susulan kunjungan hormat dan taklimat oleh Pengarah Hal Ehwal Sarawak AirAsia, Hamdan Mohamad, di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur, di Kuching semalam.

Taklimat tersebut adalah mengenai persediaan operasi serta penjadualan penerbangan tambahan sempena musim perayaan, selain menawarkan tambang promosi sehala bermula RM328, bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, bagi membantu meringankan beban kewangan penumpang sepanjang musim perayaan.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) serta pengendali syarikat penerbangan, bagi memastikan kapasiti penerbangan dan ketersediaan tempat duduk mencukupi ke Sarawak, selain mengekalkan kadar tambang yang munasabah sepanjang tempoh puncak perayaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak kekal komited menyokong pelajar Sarawak melalui inisiatif i-GPS Sarawak 2026 (Inisiatif Graduan Pulang Sarawak), iaitu program subsidi tiket penerbangan bagi membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengurangkan kos perjalanan pulang ke Sarawak semasa musim perayaan atau cuti akademik panjang.

Dato Sri Lee turut merakamkan penghargaan kepada AirAsia atas kerjasama dan respons pantas dalam meningkatkan kapasiti penerbangan ke Sarawak, sambil menegaskan kerjasama erat antara kerajaan dan pengendali penerbangan amat penting, bagi memenuhi keperluan perjalanan rakyat.

Menurutnya, MOTS akan terus berhubung rapat dengan semua pihak berkepentingan, bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan udara ke Sarawak kekal lancar, mencukupi dan mampu milik, khususnya semasa musim perayaan utama.

Firdaus
Gambar: MOTS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *