




Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2026
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis telah mengeluarkan 18 Notis Saman kerana tiada atau tamat tempoh lesen memandu yang sah pada Operasi Gempur Kenderaan Perdagangan sepanjang bulan Januari ini.
Pengarahnya Noraini Mohd Nawi berkata selain itu Tiada atau Tamat Tempoh Lesen Vokasional (GDL) sebanyak 34 Notis Saman dan Tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) sebanyak 25 Notis Saman telah dikeluarkan.
Beliau berkata bagi kesalahan teknikal pula, sebanyak 64 Notis Saman telah dikeluarkan iaitu merangkumi pelbagai kesalahan antaranya – tayar haus atau botak (23), Cermin Gelap (8), Pemantul Cahaya tidak Berfungsi
(1) dan lain-lain (32).
ENAM BUAH LORI
“JPJ Negeri Perlis juga telah menahan dan menimbang enam buah lori, di mana notis saman telah dikeluarkan atas kesalahan membawa muatan melebihi had yang dibenarkan,” kata beliau dalam kenyataan media.
Noraini berkata Operasi Gempur Kenderaan Perdagangan ini dilaksanakan selaras dengan usaha meningkatkan
tahap keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang
di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan.
“Sepanjang tempoh operasi tersebut, JPJ Perlis telah menjalankan pemeriksaan ke atas pelbagai jenis kenderaan perdagangan, khususnya kenderaan motolori,” tegas beliau.
KENDERAAN YANG SELAMAT
Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan ini diambil bagi memastikan hanya kenderaan yang selamat dan mematuhi spesifikasi dibenarkan berada di jalan raya.
Sehubungan itu, kata beliau JPJ Perlis ingin menasihatkan semua
pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan agar sentiasa
memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi had muatan yang ditetapkan serta melengkapkan dokumen yang diwajibkan.
“Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” kata beliau.
Aktiviti penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke
semasa dan JPJ Negeri Perlis turut menyeru serta menggalakkan
orang awam untuk menyalurkan aduan secara terus melalui
Aplikasi MyJPJ menerusi fungsi e-Aduan@JPJ atau melalui e-
mel aduantrafik@jpi.gov.my dengan menyertakan butiran aduan
yang lengkap. – JM
