UniMAP perkasa ekosistem pendidikan berteraskan industri

Wartawan JM
30 JAN. 2026

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan industri strategik iaitu TF-AMD Microelectronics Sdn. Bhd. yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Batu Kawan serta Aemulus Corporation Sdn. Bhd. di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, dengan TF AMD diwakili oleh Naib Presiden, Pembangunan Perniagaan TF AMD Dr Harry Kam, manakala Aemulus Corporation diwakili Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Wan Muhammad Razi Wan Ibrahim.

Zaliman berkata kerjasama ini selari dengan hasrat universiti untuk memperkasa ekosistem pendidikan berteraskan industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan di samping sebagai langkah memperkukuh jaringan kerjasama universiti–industri khususnya dalam bidang teknologi elektronik dan semikonduktor.

“Sinergi antara universiti dan industri akan menjadi pemangkin kepada inovasi serta pembangunan teknologi tempatan yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.

MEMPERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK

“UniMAP sentiasa komited memperkukuh hubungan strategik dengan pemain industri utama negara. Melalui MoU ini, kita bukan sahaja membuka lebih banyak peluang latihan dan pendedahan dunia sebenar kepada pelajar, malah menggalakkan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu menyumbang terus kepada keperluan industri semikonduktor negara,” katanya.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektronik (FKTEN), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Razaidi Hussin dan Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC), Prof. Madya Dr. Mohd Najmuddin Mohd Hassan.

Melalui pemeteraian MoU ini, UniMAP dan kedua-dua syarikat akan meneroka pelbagai bentuk kolaborasi termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian kepakaran, penempatan latihan industri pelajar, pembangunan bakat serta peluang pemindahan teknologi.

Pemeteraian ini dijangka memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan, selain merancakkan aktiviti penyelidikan gunaan serta pengkomersialan teknologi dalam bidang elektronik dan mikroelektronik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *