DUTA BESAR AS UCAP SELAMAT TINGGAL, PUJI SARAWAK SEBAGAI NEGERI PENUH POTENSI DAN HARAPAN

KUCHING β€” Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, menyifatkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang dinamik, penuh harapan serta mempunyai potensi besar untuk kerjasama masa depan, khususnya dalam bidang tenaga, pendidikan dan pelaburan.

Katanya, lawatan tersebut amat bermakna walaupun bersifat perpisahan, memandangkan beliau mempunyai hubungan peribadi yang mendalam dengan Sarawak sejak kunjungan pertamanya pada tahun 2014.

β€œSaya suka melihat keghairahan dan perubahan yang berlaku di Kuching. Saya gembira melihat rakyat Sarawak kembali dan melakukan pelbagai perkara seperti membuka kedai, restoran, kafe dan perniagaan baharu. Saya merasakan Sarawak adalah sebuah tempat yang penuh tenaga dan sangat menyeronokkan untuk dilawati.

β€œSaya juga kagum dengan usaha kerajaan negeri. Apabila melihat perpustakaan dan pelbagai kemudahan yang dibangunkan oleh kerajaan negeri, jelas terdapat satu tahap cita-cita yang mencerminkan bahawa Sarawak mempunyai visi yang jelas untuk dirinya dan untuk rakyatnya, dan perkara itu amat mengagumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan terakhirnya bersama pengamal media di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching.

Pertemuan santai itu diadakan sempena lawatan perpisahan Kagan sebelum beliau menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai duta pada 15 Februari ini.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pustaka Negeri Sarawak atas kerjasama erat yang terjalin sejak penubuhan American Corner pada tahun 2004, yang kini genap 20 tahun dan merupakan antara yang paling berjaya di Malaysia hasil sokongan padu kerajaan negeri serta Pustaka Negeri Sarawak.

Beliau turut memuji usaha Sarawak dalam memelihara warisan budaya Iban serta menyifatkan Muzium Budaya Borneo sebagai sebuah muzium bertaraf dunia.

Mengulas hubungan Amerika Syarikat–Sarawak, Kagan berkata kerjasama antara kedua-dua pihak mempunyai sejarah panjang melebihi 125 tahun, dengan syarikat Amerika terlibat dalam pelbagai sektor sejak era awal perdagangan di rantau ini.

Beliau berkata terdapat potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, teknologi, ekonomi perkhidmatan serta pembangunan pusat data.

β€œAntara kekangan utama bagi pusat data ialah bekalan elektrik dan air, dan itu merupakan kelebihan yang dimiliki oleh Sarawak. Oleh itu, saya melihat terdapat potensi yang sangat besar.
β€œNamun, perkara paling bernilai yang dimiliki Sarawak adalah rakyat dan bakatnya. Faktor inilah yang menjadikan Sarawak sebuah destinasi pelaburan yang menarik, dan saya menjangkakan lebih banyak syarikat Amerika akan datang melabur di sini,” katanya.

FIRDAUS

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *