

Oleh: Sholina Osman
20 JAN. 2026
Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif untuk menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan juga mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Kenyataan media Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini memaklumkan sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pengumuman ini sebagai mengambil maklum Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen Malaysia pada 19 Januari 2026.
MEMDENGAR KES RASUAH
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim menitahkan terdapatnya keperluan untuk menyediakan hakim yang berpengalaman untuk mendengar kes rasuah dan supaya laluan khas disediakan di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah di mahkamah dapat diselesaikan dengan segera.
Untuk makluman, pada masa ini terdapat empat belas Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan untuk mendengar kes-kes rasuah di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk menyelesaikan kes-kes dalam tempoh 1 tahun dari tarikh pendaftaran. – JM
