



Oleh: Sholina Osman
15 JAN. 2026
Seorang pensyarah wanita rugi RM493,600.00 setelah terpedaya dengan taktik “scammer” yang menyamar sebagai ejen pelaburan saham yang tidak wujud.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mendedahkan demikian setelah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang menerima satu laporan dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung seorang mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan yang tidak wujud melalui penipuan atas talian.
Beliau berkata wanita berusia 39 tahun dari Kuantan itu telah menerima satu panggilan dari “scammer” pada 12 September 2025.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan saham daripada WLIS Investment kepada mangsa,” kata beliau dalam kenyataan media.
SATU KUMPULAN APLIKASI
Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai “C-129 WLIS AW Fans Group”.
Selepas itu mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan bagi tujuan membuat pelaburan melalui aplikasi tersebut.
Sepanjang tempoh tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 22 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM493,600.00.
Pada 14 Januari 2026, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM144,676.00 sebagai cukai pengeluaran.
Bagaimanapun mangsa tidak berbuat demikian kerana mula mengesyaki sesuatu.
Mangsa tidak lagi membuat bayaran tambahan tersebut kerana sudah mula berasa curiga sehinggalah tampil membuat laporan polis
WANG SIMPANAN SENDIRI
Sumber kewangan mangsa untuk pelaburan ini adalah daripada wang simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga.
Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – JM
