PMX ucap selamat bersidang kepada perwakilan UMNO

Wartawan JM
15 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Beliau menegaskan dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.

BERLANGSUNG DENGAN TERTIB

“Semoga persidangan kali ini berlangsung dengan tertib, penuh wacana yang bernas yang berpaksi pada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang madani,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.

Menerusi perkongsian itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2023.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Perhimpunan kali ini menghimpunkan sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung
UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *