Fadlun Mak Ujud dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

Oleh: Sholina Osman
14 NOV. 2025

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok (15 November).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan Fadlun, 58 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.

AGENDA BANDAR CHASE

Dr Zaliha berkata kepimpinan Fadhlun diharap akan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya,” kata Dr Zaliha.

Beliau berkata Fadhlun yang menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022 itu telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.

DALAM PELBAGAI FORUM

“Beliau juga adalah merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia selain aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh,” tambah Dr. Zaliha.

Dr Zaliha juga melahirkan penghargaan kepada Datuk Seri TPr. Dr Maimunah Mohd Sharif di atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,” tambah Dr Zaliha. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *