
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
14 NOV. 2025
Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul telah menegaskan komitmen masing-masing untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur kerana kedua-duanya telah memberikan maklum balas positif.
Terdahulu Anwar telah berbicara dengan Hun Manet dan Anutin Charnvirakul menerusi pamggilan telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.
UNTUK MELIHAT PERSAHABATAN
Beliau sekali lagi menegaskan dengan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di FB.
Beliau menjelaskan kedua-dua Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang kita galas, bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.
“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini, dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara,” tambah beliau. – JM
