PMX beri Kenyataan Negara bertemakan “Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadap Masa Hadapan.”

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia sekali lagi pada sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC.

Beliau berkata kali ini memberi tumpuan kepada tema “Membina Asia-Pasifik yang Bersedia Menghadap Masa Hadapan.”

Kata beliau sesi hari ini menyorot cabaran dan peluang yang muncul daripada lonjakan Kecerdasan Buatan (AI) serta transformasi digital yang sedang mencorak semula kehidupan, ekonomi dan peradaban manusia.

“AI bukan lagi sekadar peranti canggih di hujung jari, ia kini menjadi nadi masa depan kita. Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimana memastikan teknologi ini dapat menyantuni manusia tanpa rasa terbeban serta tidak menghakis nilai yang membentuk kemanusiaan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

LEBIH SETENGAH ABAD

Anwar berkata lebih setengah abad lalu, filasuf Jerman, Martin Heidegger telah mengingatkan bahawa asas roh teknologi tidak terletak pada mesin yang kita cipta, tetapi pada bagaimana ia mengubah cara kita berfikir, berperilaku dan mencari makna hidup.

Jelas Anwar peringatan ini sangat relevan hari ini, tatkala algoritma dan data mula membentuk pandangan dunia serta mempengaruhi setiap keputusan yang sepatutnya ditentukan oleh akal budi dan nilai kemanusiaan.

Tambah Anwar Malaysia percaya bahawa kekuatan sebenar teknologi terletak pada keupayaannya mengangkat tamadun, bukan menenggelamkan nilai-nilai luhur yang menjadi asasnya.

“Kami menyokong pembangunan AI untuk memperluas ilmu, mempercepat inovasi dan mencipta peluang baharu yang mampu mengangkat martabat rakyat.” kata beliau.

TIDAK BOLEH DIUKUR

Namun, kata beliau kemajuan tidak boleh diukur semata-mata dengan kecekapan atau keuntungan.

Jelas beliau pertumbuhan digital mesti bergerak seiring dengan tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam, dan prinsip moral yang tidak boleh dikompromi.

“Kita tidak mahu sebuah dunia di mana peranti menentukan takdir manusia. Sebaliknya, kita ingin membina masa depan di mana AI memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa,” jelas beliau.

Teknologi mesti kekal sebagai alat kemajuan insan bukan pengganti makna kemanusiaan.

“Yang penting bukan hanya untuk menjadi negara pintar, tetapi bangsa yang bijaksana kerana kemajuan tanpa nilai serta hikmah, hanya akan membawa dunia dan manusia kehilangan arah dan makna,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *