



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
1 NOV. 2025
Kerajaan menyambut baik kerjasama strategik antara JS Link dan Lynas Malaysia bagi menubuhkan sebuah fasiliti pembuatan bernilai RM600 juta untuk menghasilkan “super magnet”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha berimpak tinggi ini bakal memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem bahan termaju dan teknologi bersih.
“Sekaligus ia menyokong usaha global ke arah pembentukan rantaian bekalan mineral kritikal yang lebih selamat, mampan dan berdaya tahan, komponen penting bagi pembangunan kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, serta industri berteknologi tinggi,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar bertemu dengan pimpinan JS Link dan Lynas Malaysia sempena APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea.
MENCERMINKAN KEYAKINAN PELABUR
Beliau menyifatkan kerjasama ini turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, berdaya saing dan berpaksikan inovasi.
Anwar menjelaskan ia selari dengan aspirasi negara untuk menjadi hab serantau dalam sektor bahan termaju serta ekonomi hijau masa depan, berteraskan ilmu, teknologi dan kelestarian demi kesejahteraan rakyat. – JM
