






Wartawan JM
27 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya.
“Kota MADANI adalah projek pembangunan yang amat dekat di hati saya kerana ia adalah sebuah kota yang bukan sahaja menyediakan perumahan mampu milik buat penjawat awam, tetapi juga merupakan cita kehidupan yang berteraskan nilai-nilai yang universal seperti iman, ihsan, inovasi dan kelestarian,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau berkata, ia menyediakan kemudahan asas daripada tadika di aras bawah sehingga ke masjid di hadapan, dari laluan pejalan kaki ke sekolah dan juga gimnasium serta ruang-ruang hijau, yang direncana dengan teliti bagi menyantuni kehidupan rakyat.
IA ADALAH FALSAFAH
Beliau berkata, Kota MADANI bukan sekadar berbentuk fizikal, tetapi ia adalah falsafah dan cita-cita seperti yang diungkap pemikir dan pengembara ulung Ibn Khaldun bahawa kota ialah pusat umran hadhari, yakni tempat bertemunya idealisme, teknologi dan nilai.
“Kita tidak mahu meneruskan budaya membina mercu serta gedung-gedung megah tanpa roh tapi yang kita gerakkan kini adalah bandar yang manusiawi, yang menyantuni rakyat dari warung sederhana hingga ke ruang tamu yang selesa buat anak-anak bangsa,” katanya.
Anwar berkata, seperti banyak bangunan-bangunan utama yang didirikan di Putrajaya, projek ini akan dibiayai secara usahasama Kerajaan-swasta (PPP).
MENGURANGKAN BEBAN KEWANGAN
Jelas beliau, pendekatan ini mengurangkan beban kewangan langsung Kerajaan dan mempercepat pelaksanaan projek.
“Ia bukan konsep baharu, tetapi ia berkonsep menambah baik, jauh sekali dibina ‘from scratch’ yang tentunya menelan belanja yang besar,” katanya.
Beliau berkata, jumlah dan kos RM4 bilion ini bukan untuk bermegah dan mendabik dada tetapi ia untuk sejumlah 10,000 keluarga.
“Tidak ada komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan. Hanya iltizam dan tekad untuk mempercepat, mempermudah, menyempurnakan.
Ia bukan projek peribadi Perdana Menteri, ia projek rakyat dan untuk masa depan bangsa,” tambah beliau. – JM
