






Oleh: Sholina Osman
27 JUN 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan rakyat supaya berwaspada dan mengambil langkah awal bagi menghadapi musim peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka membawa angin kencang serta hujan lebat.
Baginda yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah bahawa antara langkah pencegahan yang wajar diambil termasuklah memastikan struktur atap kediaman berada dalam keadaan kukuh dan diselenggara dengan baik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan agar penduduk tidak melakukan penyambungan atap secara tidak selamat atau menggunakan bahan yang mudah tercabut ketika ribut.
MENGELAK RISIKO KEROSAKAN
Struktur sementara seperti khemah, kanopi, anjung tambahan dan wakaf ringan yang tidak kukuh pula disaran agar ditanggalkan lebih awal bagi mengelakkan risiko kerosakan serius mahupun kemalangan jiwa atau harta benda lain.
“Jangan tunggu saat akhir untuk bertindak. Keselamatan diri serta keluarga tersayang dan kediaman perlu sentiasa diutamakan,” titah Baginda selepas berkenan berangkat menyantuni dan melawat beberapa rumah penduduk yang terjejas akibat ribut beberapa hari lalu di sekitar kawasan Kangar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, dalam kejadian ribut yang berlaku pada 23 Jun baru-baru ini, sebanyak 30 buah rumah telah dilaporkan mengalami kerosakan dan dirujuk kepada pihak MAIPs serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
DISALURKAN MENGIKUT KEPERLUAN
Bantuan sedang disalurkan mengikut keperluan dan tahap kerosakan yang dikenalpasti.
Beliau turut menjelaskan bahawa segala bantuan berkaitan kerosakan kediaman akan diselaraskan oleh JKM selaku agensi utama.
Sekiranya kerosakan adalah kecil, bantuan akan terus disalurkan oleh pihak JKM.
Namun, bagi kes kerosakan besar atau di luar skop garis panduan sedia ada, penilaian dan pertimbangan lanjut akan dilakukan oleh pihak MAIPs.
LAPORAN PERLU DIKEMUKAKAN
Sementara itu, bagi kes melibatkan premis perniagaan, laporan perlu dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk tindakan susulan bersama MAIPs dan agensi bantuan berkaitan.
“Semoga segala urusan mangsa dipermudahkan dan bantuan dapat disalurkan dengan segera serta berkesan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Baginda menyantuni serta melawat beberapa buah rumah mangsa ribut, antaranya milik Rahani Musa dan Arif Salman Aziz yang terkesan dalam kejadian tersebut.
Kedua-dua keluarga yang menetap di Taman Kemajuan, Kangar itu mengalami kerosakan pada kediaman mereka.
PENYAMPAIAN BANTUAN SEGERA
Sempena lawatan tersebut, Baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian bantuan segera daripada JKM Perlis dan MAIPs kepada para mangsa yang terkesan, dilaksanakan secara berperingkat.
Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada beberapa individu terpilih iaitu Samiah Wi, 70 dari Kampung Guar Syed Alwi, Nazari Man, 66 dari Kampung Behor Gandil dan Maziah Syed Mansor, 64 dari Kampung Bahagia.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan daripada pihak MAIPs kepada golongan yang memerlukan. – JM
