PMX hubungi Emir Qatar melalui panggilan telefon

Wartawan JM
25 JUN 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani petang semalam (24 Jun).

Anwar merakamkan penghargaan di atas peranan penting Sheikh Tamim dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat.

“Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat,” katanya dalam hantaran di FB.

Perdana Menteri berkata, Sheikh Tamim memaklumkan bahawa Qatar berada dalam kedudukan sukar apabila turut terheret dalam konflik ini.

UNTUK MELIHAT GAMBARAN

Bagaimanapun katanya, Sheikh Tamim memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau.

“Saya menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini, termasuk peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel,” katanya.

Sheikh Tamim turut memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden Trump dan berbicara mengenai usaha damai ini.

MENGGUNAKAN KESEMPATAAN

Selain itu katanya Sheikh Tamim juga menggunakan kesempatan itu untuk menggesa Amerika Syarikat menumpukan usaha ke arah menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan.

“Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak ke arah membina keamanan yang berpanjangan di rantau ini dan seluruh dunia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *