






26 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai jemaah Masjid Ar-Rashid, Taman Perpaduan Koperasi, Tambun, Ipoh bagi mendengar khutbah serta menunaikan solat Jumaat bersama-sama.
“Kunjungan saya ke Ipoh, Perak tidak akan lengkap tanpa menyantuni dan menyertai jemaah Masjid Ar-Rashid,” katanya dalam hantaran di FB.
DALAM MEMPERBETUL NIAT
Beliau berkata, khutbah bertajuk “Ibadah Haji: Persiapan Rohani dan Jasmani” memberi peringatan yang jelas kepada semua tentang pentingnya persediaan dalam memperbetul niat serta menjauhkan diri daripada sifat riak, takbur dan perkara-perkara yang boleh mencemarkan ibadah yang mulia ini.
“Persiapan dari sudut ilmu juga tidak kurang pentingnya — memahami rukun, sunat, makruh dan larangan dalam ibadah haji boleh dilakukan melalui kursus, seminar, bengkel, pembacaan buku dan perkongsian pengalaman daripada mereka yang pernah menunaikannya,” katanya.
Selesai solat Jumaat, Anwar mengambil peluang menyantuni pengurusan masjid, ahli kariah serta masyarakat setempat bagi bertukar pandangan dan membincangkan isu-isu semasa yang dekat di hati rakyat. – JM
