Raja Perlis: 113 projek di bawah RMK-12 siap dilaksanakan di Perlis

Oleh: Sholina Osman
23 APRIL 2025

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sebanyak 113 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) siap dilaksanakan di Perlis sehingga 25 Mac lepas yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.8 bilion.

Baginda bertitah sebanyak lima buah masjid di sekitar negeri itu dibina dan dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan di bawah RMK-12.

Titah Baginda, bagi RMK-13 pula, kerajaan negeri telah mengemukakan 61 cadangan projek dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.3 bilion di bawah pelbagai kementerian.

SELARI DENGAN DASAR

“Projek-projek yang dimohon ini adalah selari dengan dasar-dasar sedia ada yang menyokong kepada kebajikan dan keperluan rakyat serta untuk kepentingan bersama,” titah Baginda ketika berkenan berangkat merasmikan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di Persiaran Wawasan, Kangar, semalam (22 April).

Berkenan berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin juga menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan negeri kerana Perlis telah mencapai status sifar miskin tegar berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih sehingga 31 Disember 2024.

Titah Baginda, Perlis telah tersenarai sebagai empat negeri yang mencatatkan sifar miskin tegar.

“Pelbagai inisiatif dan geran perniagaan kepada komuniti telah disediakan sebagai jambatan untuk mereka memulakan langkah pertama untuk keluar dari kelompok kemiskinan ini,” titah Baginda.

INI KEKAL SIFAR

“Beta mohon supaya Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan Kerajaan Negeri Perlis terus turun padang untuk memastikan golongan miskin tegar ini kekal sifar dan seluruh rakyat negeri Perlis keluar dari kepompong kemiskinan dengan tidak
bergantung harap kepada bantuan bulanan kerajaan semata-mata,” titah Baginda.

Titah Baginda, sebaliknya bersama-sama dapat membantu memajukan ekonomi untuk masa hadapan negeri Perlis.

“Beta juga menyeru semua agensi kerajaan dan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat yang
mempunyai geran atau sebarang bentuk bantuan seumpamanya untuk
mempergiatkan usaha dan bergerak aktif mencari peserta yang
berminat dan selayaknya untuk memulakan perniagaan serta bimbinglah mereka agar sama-sama dapat membangunkan negeri kita ini,” titah Baginda.

Raja Perlis juga bertitah agar ahli-ahli
DUN terus membantu kerajaan negeri dalam menggiatkan promosi kepada pelabur untuk melabur ke negeri itu melalui kerjasama erat dengan agensi pelaburan peringkat Persekutuan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

“Pembangunan projek secara Inisiatif
Pembiayaan Swasta (PFI) juga boleh diterokai dengan lebih mendalam lagi sekiranya ia menjanjikan pulangan yang berbaloi kepada negeri,” titah Baginda. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *