VM2026: Tourism Malaysia Wilayah Utara anjur “What’s Up Nothern”

Oleh: Sholina Osman
23 APRIL 2025

Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara telah menganjurkan program “What’s Up Nothern” Perlis dan Kedah dalam usaha awal bagi menyemarakkan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Kenyataan media Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara memaklumkan program ini sebagai platform perkongsian strategik antara penggiat industri pelancongan di Perlis dan Kedah.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man telah menyempurnakan majlis perasmian program ini yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia Kangar.
 
Seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan kolaborasi antara penggiat industri pelancongan di wilayah utara serta memberi penerangan mengenai hala tuju dan perancangan promosi pelancongan negara menjelang VM2026 melalui platforma digital.

SEKTOR PELANCONGAN TEMPATAN

“Ia juga dapat merangsang pertumbuhan sektor pelancongan tempatan, sekali gus menyumbang keoada pemulihan dan pemacuan ekonomi negara,” kata kenyataan itu lagi.
 
Antara pengisian utama seminar termasuk sesi taklimat berkaitan strategi pemasaran pelancongan, pembentangan produk pelancongan baharu, dan perbincangan meja bulatantara penggiat industri pelancongan dalam mengenalpasti produk pelancongan utama yang perlu diberikan penekanan dari segi promosi dan publisiti.
 
Antara para pembentang yang dijemput bagi memberi penerangan adalah Pretty Worl Resources, Sahabat Langit Utara, Sahril Pekan Enterprise, Klook dan Persatuan Pemandu Pelancong Kedah/Perlis.
 
Pejabat Tourism Malaysia Wilayah Utara optimis bahawa melalui penganjuran seminar ini, sinergi yang lebih kukuh dapat dibentuk antara agensi pelancongan negeri dan pusat, selain merangka strategi yang lebih berkesan dalam menyokong inisiatif VM2026.

PENGIAT INDUSTRI PELANCONGAN

Program sehari ini melibatkan peserta yang terdiri daripada 60 penggiat industri pelancongan dari Perlis dan Kedah.

Peserta program akan didedahkan dengan perkongsian daripada tetamu jemputan yang akan membentang kaedah membangunkan dan mempromosi produk pelancongan.

Sesi networking yang diadakan sejurus itu dapat membantu penggiat industri untuk menjana idea baharu dan berkongsi pengalaman. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *