


5 November 2026
Keprihatinan dan kasih ihsan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah terhadap kebajikan rakyat terus dizahirkan menerusi lawatan Seri Paduka Baginda terhadap sebuah keluarga kurang berkemampuan di daerah Kluang pada 13 September lalu.
Seri Paduka Baginda berkenan menyantuni keluarga berkenaan dengan diiringi YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan meluangkan masa menyantuni Sivabalan Nundakumul, 28, yang tabah menggalas tanggungjawab menjaga ibunya yang merupakan pesakit strok selama lebih 10 tahun.
Sivabalan yang bekerja sebagai mekanik di Paloh berulang-alik setiap hari dari kediamannya di Kampung Sri Lalang, Kluang ke tempat kerja demi mencari rezeki, sambil memastikan kebajikan dan keperluan ibunya sentiasa terpelihara.
Kisah pengorbanan serta ketabahan Sivabalan menyentuh hati Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengambil berat akan nasib golongan kurang berkemampuan, khususnya mereka yang berdepan kesukaran hidup dan memerlukan perhatian serta bantuan sewajarnya.
Seiring dengan lawatan Diraja dan keprihatinan Seri Paduka Baginda, Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) menyalurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.
Bantuan itu merangkumi kerja-kerja pemulihan rumah secara menyeluruh, pemasangan bumbung baharu, penyediaan katil perubatan, kerusi roda serta kelengkapan asas bagi memastikan kediaman lebih selesa, selamat dan sesuai dengan keperluan penjagaan ibunya.
Hari ini (5 November), Dato’ Sugumaran Raman, Pengerusi YSR dan Hishammuddin Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ mengadakan lawatan susulan ke kediaman Sivabalan di Kampung Sri Lalang, Kluang.
Hadir sama, Kalki Abdullah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSR dan Dato Jeeventhiran Ramanaidu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSR.
Hishamuddin turut menyampaikan kurniaan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berupa komputer riba serta sumbangan peribadi.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan bantuan bulanan sebanyak RM2,000 kepada Sivabalan bagi membantu mengurangkan beban beliau.
