


𝗟𝗨𝗠𝗨𝗧, 𝟱 𝗡𝗢𝗩𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menahan dua Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas B dan C yang disyaki melanggar syarat sah lesen ketika beroperasi di sekitar perairan Tanjung Akuan, Perak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin bin Mohd Zuki berkata, penahanan dilakukan oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di sektor operasi berkenaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang aktiviti yang menyalahi peraturan di laut.
Kedua-dua vesel ditahan pada kedudukan kira-kira 4.8 dan 5.5 batu nautika barat daya Tanjung Akuan, masing-masing sekitar pukul 6.40 dan 6.50 pagi. Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh dua tekong serta tiga kru warga Myanmar berumur antara 22 hingga 52 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua vesel berpangkalan di Pantai Remis dan Bagan Panchor, Perak, serta disyaki melanggar syarat sah lesen, antaranya beroperasi kurang daripada jarak minimum lima dan 15 batu nautika dari pantai atau daratan yang ditetapkan bagi kelas vesel masing-masing. Selain itu, pemilik vesel juga disyaki tidak mengusahakan sendiri vesel berkenaan, manakala tekong dan kru warga Myanmar didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 berhubung pelanggaran syarat sah lesen, termasuk had jarak operasi dan pemilikan vesel, serta Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan imigresen yang melibatkan kru warga asing.
Kesemua nelayan ditahan, manakala kedua-dua vesel, hasil tangkapan ikan yang dianggarkan seberat 220 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia terus komited mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan setiap vesel nelayan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, sekali gus memelihara sumber perikanan dan memastikan keselamatan serta ketertiban aktiviti perikanan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang pelanggaran undang-undang di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 untuk tindakan segera.
