
Rangkaian komunikasi yang stabil, pantas dan berkualiti kini menjadi keperluan penting
dalam kehidupan harian, pendidikan serta pertumbuhan ekonomi negara.
Menyedari kepentingan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh usaha menambah baik kualiti rangkaian dan liputan komunikasi di seluruh negara menerusi pelbagai langkah pemantauan, penambahbaikan serta peningkatan infrastruktur.
Usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan memastikan pengguna menikmati pengalaman komunikasi yang lebih baik, malah membantu merapatkan jurang digital antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Melalui inisiatif MCMC Nexus, penambahbaikan kualiti rangkaian dilihat mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, khususnya mereka yang bergantung kepada Internet untuk bekerja, belajar, berkomunikasi dan mendapatkan perkhidmatan digital.
Bagi Norhashima Shagap ,38, yang banyak menjalankan tugasan dari rumah, kestabilan Internet amat penting bagi memastikan urusan kerja berjalan lancar.
“Kelajuan dan kestabilan Internet adalah `nyawa’ kerja saya. Penambahbaikan kualiti rangkaian oleh MCMC sangat membantu mengurangkan gangguan ketika mesyuarat dalam talian.
“Urusan menghantar pelbagai dokumen juga kini menjadi jauh lebih pantas dan lancar,” katanya seorang pensyarah di Kolej Swasta, Melaka.
Sementara itu, Ashmalia Asraf, 48 pula berkata peningkatan infrastruktur rangkaian turut memberi manfaat kepada keluarganya ketika pulang ke kampung.
Menurut beliau, sebelum ini anak-anak sering menghadapi masalah mendapatkan talian Internet yang stabil apabila berada di kampung.
“Sekarang ini alhamdulillah, sejak pemancar baharu dibina dan dinaik taraf bukan sahaja panggilan suara menjadi lebih jelas, malah penggunaan aplikasi WhatsApp dan menonton video pun sudah tiada lagi bermasalah,” kata pensyarah yang bertugas di sebuah universiti awam di Selatan tanah air.
Dalam sektor pendidikan pula, Shyuhada Abu Bakar 40, berkata kestabilan rangkaian amat penting bagi memastikan pelajar yang mengikuti pembelajaran secara hibrid berlangsung lancar.
Katanya, peningkatan kualiti rangkaian memudahkan beliau menghadiri kuliah dalam talian, menyertai perbincangan kumpulan melalui panggilan video serta memuat turun bahan akademik tanpa gangguan.
“Penambahbaikan ini sangat memudahkan saya mengikuti pembelajaran walaupun ketika sedang bercuti di kampung halaman,” jelas beliau lagi.
Bagi Halimatun Abu Bakar, 41, usaha meningkatkan kualiti rangkaian turut memberi manfaat dari sudut pengguna kerana perkhidmatan Internet yang lebih baik memastikan kuota data digunakan dengan lebih berkesan.
“Sebagai pengguna, kita mahu perkhidmatan yang setimpal dengan apa yang dibayar. Kualiti rangkaian yang lebih baik bermakna tiada lagi isu pembaziran kuota data akibat talian yang tidak lancar ,” ujar beliau.
Halimatun juga turut berharap pemantauan terhadap kualiti perkhidmatan diteruskan secara berkala supaya penyedia perkhidmatan telekomunikasi sentiasa memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan memenuhi keperluan pengguna. Kesalinghubungan berkualiti, manfaat kepada semua.
“Pengalaman komuniti menunjukkan bahawa kualiti rangkaian bukan sekadar soal kelajuan Internet. Ia mempunyai kaitan langsung dengan produktiviti, pendidikan, komunikasi keluarga dan penggunaan perkhidmatan digital”, jelas beliau lagi.
Bagi Janet Chong, 45, rangkaian yang stabil membantu memastikan tugasan dan mesyuarat dalam talian seseorang pekerja dapat dijalankan tanpa gangguan.
“Begitu juga bagi pelajar, ia membuka ruang kepada pembelajaran digital yang lebih lancar. Manakala bagi keluarga dan masyarakat luar bandar, kesalinghubungan yang baik memudahkan komunikasi serta akses kepada pelbagai aplikasi dan kandungan digital.”
“Oleh itu usaha memperkukuh rangkaian perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan infrastruktur digital negara,’’ katanya yang bertugas di sektor kewangaan di ibu negara.
Nisha Bala, 29 tahun pula memuji usaha MCMC Nexus yang membawa mesej bahawa kesalinghubungan berkualiti perlu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, pekerjaan atau latar belakang.
Jelas beliau lagi, dalam era digital yang semakin berkembang, rangkaian yang stabil bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya menjadi asas kepada kehidupan, pekerjaan, pendidikan dan ekonomi.
“Iniasitif MCMC Nexus telah berjaya memperkukuh rangkaian, menghubungkan komuniti dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,’’ jelas peguam muda yang bertugas di Putrajaya.
