
FLORIDA, 3 November – Sembilan individu maut selepas sebuah pesawat persendirian jenis Learjet 60 terhempas dan meletup berhampiran kawasan perumahan di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu.
Pesawat yang dalam penerbangan dari Texas menuju Bahamas itu dilaporkan menjunam hampir menegak sebelum merempuh kawasan tepi jalan dan terbakar, berdasarkan rakaman kamera papan pemuka.
Sebelum kejadian, juruterbang dilaporkan memaklumkan pengawal trafik udara mengenai keadaan gelora, pembentukan ais dan hujan pada ketinggian kira-kira 35,000 kaki sebelum mengisytiharkan kecemasan.
Kira-kira 600 penduduk berhampiran turut dipindahkan sebagai langkah keselamatan. Bagaimanapun, nahas itu tidak melibatkan orang awam di darat.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) bersama Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. – VIORY
