KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP

No. 13 Persiaran Perdana, Presint 2,
62623 Putrajaya

No. Telefon: 03-8882 6486
E-mel: ukk@kpdn.gov.my

OPS TIRIS: KPDN TUMPASKAN KEGIATAN DISYAKI SELEWENG DIESEL, SITAAN BERNILAI LEBIH RM587,000

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya telah berjaya mengesan kegiatan disyaki melibatkan penyelewengan minyak diesel dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah jeti persendirian di Manjung, Perak pada 27 Oktober 2026.

Operasi yang dilaksanakan di bawah OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) ini dijalankan hasil maklumat risikan susulan aduan yang diterima oleh KPDN berhubung kegiatan mencurigakan melibatkan barang kawalan. Serbuan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu melibatkan 12 pegawai penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama lima pegawai KPDN Cawangan Manjung.

Semasa serbuan dijalankan, pasukan penguat kuasa mendapati premis berkenaan merupakan sebuah jeti persendirian yang menempatkan beberapa bot nelayan. Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebuah bot sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel ke sebuah bot lain di kawasan jeti tersebut.

Pemeriksaan terhadap kedua-dua bot berkenaan menemukan sejumlah cecair yang disyaki minyak diesel di dalam beberapa tangki simpanan, dengan anggaran keseluruhan sebanyak 3,592 liter. Pasukan penguat kuasa turut menemukan peralatan yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pemindahan diesel, termasuk pam dan hos.

Susulan penemuan tersebut, KPDN telah mengambil tindakan dengan menyita dua buah bot, minyak diesel, peralatan pemindahan, dokumen berkaitan serta sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan sebanyak RM587,219.45.

Dalam operasi sama, seramai lima lelaki yang terdiri daripada dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], berkaitan pemindahan dan penyimpanan barang kawalan. Siasatan lanjut juga bagi mengenal pasti sumber bekalan diesel, tujuan pemindahan serta pihak yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Di bawah OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac 2026 sehingga 28 Oktober 2026 telah merekodkan sebanyak 128,239 pemeriksaan dan menghasilkan 1,587 kes dengan jumlah tangkapan adalah seramai 522. Sebanyak RM15,309,624.41 rampasan atas pelbagai barang kawalan dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM79,199,478.28.

KPDN akan terus mempergiatkan operasi risikan, pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di seluruh negara, termasuk di kawasan pesisir pantai, jeti dan laluan perairan yang berisiko menjadi lokasi ketirisan bekalan.

KPDN turut menyeru orang ramai agar bersama-sama memainkan peranan dalam membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan kepada pihak Kementerian. Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting bagi membantu KPDN mengesan serta mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN seperti berikut:

i. WhatsApp: 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my;
iii. Pusat Panggilan (Call Centre): 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar: Ez ADU KPDN.

DATUK AZMAN BIN ADAM
Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup

Putrajaya
30 Oktober 2026

Nota: Teks disusun semula berdasarkan tiga halaman imej asal. Maklumat, angka dan tarikh dikekalkan seperti dalam kenyataan media.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *