
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan setakat ini, siasatan belum menemukan unsur salah laku jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan berkenaan.
Menurut MoF, KWAP melabur sebanyak RM163.4 juta, bersamaan kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam eFishery. Syarikat itu kemudiannya didapati terbabit dalam manipulasi kewangan yang disengajakan dan penyelewengan fakta dalam laporan kewangannya.
Pelaburan tersebut telah melalui proses penilaian, usaha wajar bebas serta penelitian aspek kewangan, perundangan dan operasi, termasuk pengesahan juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.
MoF berkata KWAP bekerjasama dengan pihak berkuasa dan konsortium pelabur untuk mengambil tindakan sewajarnya, selain meneruskan usaha memaksimumkan pemulihan nilai pelaburan.
Maklumat itu dinyatakan dalam jawapan bertulis kementerian di laman sesawang Parlimen bagi menjawab pertanyaan mengenai pelaburan KWAP dalam eFishery.
– BERNAMA
