19 OKTOBER 2026

KERAJAAN LULUS CADANGAN TAMBANG ECRL, GOMBAK–KOTA BHARU BERMULA RM125

Gombak, 19 Oktober: Kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 16 Oktober 2026 telah meluluskan cadangan pelaksanaan tambang perkhidmatan penumpang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berasaskan mekanisme tambang dinamik yang berpatutan dan mesra rakyat. Kelulusan ini membolehkan kadar tambang ECRL dilaksanakan secara fleksibel, dengan tambang kelas Ekonomi bagi perjalanan Transit dari Gombak ke Kota Bharu bermula serendah RM125 sehala, menjelang pengoperasian komersial ECRL yang disasarkan pada pertengahan Disember 2026.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengalu-alukan keputusan tersebut yang mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur pengangkutan negara dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat, di samping menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa, selamat dan boleh dipercayai antara Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Cadangan pelaksanaan tambang yang diluluskan ini mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat, nilai perkhidmatan yang ditawarkan serta kemampanan operasi ECRL dalam jangka panjang.

Tambang ekonomi bermula RM125 bagi perjalanan Gombak–Kota Bharu

Bagi perjalanan Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer, kadar tambang kelas Ekonomi bagi perkhidmatan Transit bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan Ekspres bermula serendah RM147 sehala.

Bagi perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang Transit bermula RM95 dan Ekspres RM110. Sementara itu, perjalanan Gombak ke KotaSAS sejauh 209 kilometer ditawarkan pada kadar permulaan RM60 bagi Transit dan RM68 bagi Ekspres.

Kadar tambang permulaan yang sama turut terpakai bagi perjalanan arah sebaliknya.

Perkhidmatan Transit akan berhenti di setiap stesen yang dijadualkan, manakala perkhidmatan Ekspres memberikan tumpuan kepada empat stesen utama, iaitu Gombak, KotaSAS, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Pelaksanaan tambang ECRL adalah berasaskan mekanisme tambang dinamik yang telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 28 Jun 2024, dengan cadangan formula pelaksanaannya mendapat kelulusan pada 16 Oktober 2026.

Melalui mekanisme ini, harga tiket boleh berubah mengikut faktor seperti waktu perjalanan, permintaan dan ketersediaan tempat duduk, sekali gus memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk merancang perjalanan mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Pendekatan ini turut membolehkan pengurusan permintaan penumpang dilaksanakan dengan lebih berkesan, di samping memastikan perkhidmatan ECRL kekal berdaya saing dan mampan.

Perjalanan Gombak–Kota Bharu sekitar 4 jam

ECRL bakal memperkenalkan pengalaman perjalanan baharu antara Pantai Timur dengan Lembah Klang apabila perkhidmatan Ekspres dari Gombak ke Kota Bharu dijadualkan mengambil masa sekitar 4 jam, manakala perkhidmatan Transit mengambil masa sehingga 5 jam.

Bagi perjalanan Gombak ke Kuala Terengganu, perkhidmatan Ekspres dijadualkan mengambil masa 2 jam 54 minit, berbanding 3 jam 51 minit bagi Transit.

Sementara itu, perjalanan Ekspres Gombak ke KotaSAS dijangka mengambil masa 1 jam 27 minit, berbanding 2 jam 5 minit melalui Transit.

Penjimatan masa perjalanan ini dijangka memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya mereka yang kerap berulang-alik antara Pantai Timur dengan Lembah Klang bagi urusan keluarga, pekerjaan, pendidikan dan perniagaan.

Selain mengurangkan masa perjalanan, ECRL turut menawarkan alternatif pengangkutan yang lebih terancang dan tidak terdedah secara langsung kepada kesesakan lalu lintas di lebuh raya, khususnya ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Diskaun sehingga 50 peratus untuk golongan layak

Seiring dengan pendekatan tambang inklusif dan mesra rakyat, Jemaah Menteri turut meluluskan diskaun sebanyak 50 peratus kepada kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara Kerajaan.

Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menikmati diskaun sebanyak 40 peratus.

Inisiatif ini bertujuan memastikan manfaat ECRL dapat dinikmati secara lebih meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan akses kepada pengangkutan awam moden yang selesa dan berpatutan.

Penjualan tiket bermula pertengahan November 2026

Penjualan tiket rasmi ECRL dijadualkan bermula pada pertengahan November 2026, manakala operasi komersial penumpang bagi laluan Gombak–Kota Bharu disasarkan bermula pada pertengahan Disember 2026, tertakluk kepada penyempurnaan keperluan keselamatan dan kelulusan berkaitan.

Pada peringkat permulaan, sebanyak 10 set tren Electric Multiple Unit (EMU) akan digunakan dengan kelajuan operasi sehingga 160 kilometer sejam bagi menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

ECRL akan menyediakan 12 perjalanan sehari dari Isnin hingga Khamis, melibatkan enam perjalanan bagi setiap arah. Kekerapan perkhidmatan akan ditingkatkan kepada 16 perjalanan sehari dari Jumaat hingga Ahad, bersamaan lapan perjalanan bagi setiap arah.

Secara keseluruhan, sekitar 2.2 juta tempat duduk dirancang untuk disediakan sepanjang tahun 2027.

Dari segi pengoperasian, perkhidmatan ECRL akan dikendalikan oleh ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB), sebuah syarikat usaha sama antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC), dengan kepentingan ekuiti masing-masing sebanyak 50 peratus melalui entiti usaha sama berkaitan.

EOSB akan bertanggungjawab terhadap pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL, manakala MRL kekal sebagai pemilik projek dan aset ECRL. Kerjasama strategik ini bertujuan memastikan perkhidmatan ECRL dilaksanakan secara selamat, cekap, berkualiti dan mampan, di samping menyokong pembangunan kepakaran tempatan dalam industri perkeretaapian negara.

MRL terus memberikan keutamaan kepada aspek pengujian sistem, keselamatan, pensijilan dan kesiapsiagaan operasi bagi memastikan perkhidmatan ECRL dapat dimulakan dengan selamat dan teratur.

Pengalaman perjalanan moden dan selesa

Tren ECRL direka bentuk untuk menawarkan pengalaman perjalanan antara bandar yang moden, dengan pilihan kelas Ekonomi, Ekonomi Premium dan Perniagaan bagi memenuhi keperluan penumpang yang berbeza.

Tren dengan konfigurasi kelas Ekonomi dan Ekonomi Premium mempunyai kapasiti sehingga 425 penumpang, manakala konfigurasi yang turut merangkumi kelas Perniagaan mempunyai kapasiti 409 penumpang.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat serta tempat duduk khas untuk golongan OKU.

Tren ECRL turut menggunakan teknologi rangkaian LTE-Railway (LTE-R) bagi tujuan komunikasi pengoperasian serta dilengkapi dengan rangkaian internet 4G/5G dan WiFi bagi kemudahan penumpang di sepanjang jajaran.

Kemudahan ini mencerminkan komitmen untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, inklusif dan memenuhi keperluan penumpang bagi perjalanan jarak jauh.

ECRL pemangkin kesalinghubungan dan pembangunan wilayah

Selain menawarkan alternatif pengangkutan yang lebih pantas dan selesa, ECRL merupakan infrastruktur strategik negara yang berpotensi merangsang pembangunan ekonomi dan sosial di sepanjang jajaran.

Kesalinghubungan yang lebih baik antara Pantai Timur dengan Lembah Klang dijangka membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan, pekerjaan dan pendidikan, di samping memperkukuh hubungan antara masyarakat serta menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata:

“ECRL bukan sekadar projek pengangkutan rel, tetapi pelaburan strategik negara yang manfaatnya perlu dilihat melangkaui hasil tambang dan jumlah penumpang. Kejayaan sebenar ECRL bukan hanya apabila tren pertama memulakan perjalanan, tetapi apabila perkhidmatan ini dapat menjimatkan masa rakyat, memperluas peluang ekonomi dan menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat untuk generasi akan datang.”

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kadar tambang, jadual perjalanan dan penjualan tiket melalui laman sesawang rasmi ECRL di www.ecrl.com.my.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *