KPDN Siasat Tujuh Stesen Minyak Susulan Aduan Petrol RON95 Dicemari Air

SHAH ALAM, 17 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyiasat tujuh stesen minyak susulan 10 aduan berkaitan dakwaan pencemaran air dalam petrol RON95 yang menyebabkan kerosakan kenderaan pengguna.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari, berkata sebanyak 27 sampel petrol telah diambil daripada pam pengisian stesen terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal.

Antara masalah yang dilaporkan ialah enjin tersengguk-sengguk, kehilangan kuasa, sukar dihidupkan, bunyi tidak normal dan kejadian enjin terbakar. Pemeriksaan pusat servis turut mengesahkan pencemaran air dalam tangki bahan api sebagai punca kerosakan bagi sesetengah kenderaan.

Pemeriksaan awal mendapati kesemua stesen berkenaan mempunyai lesen yang masih sah. Bagaimanapun, KPDN telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 32 Akta Perihal Dagangan 2011 bagi mendapatkan maklumat dan dokumen untuk membantu siasatan.

KPDN turut mengingatkan pengusaha stesen minyak supaya menyelenggara tangki simpanan bawah tanah secara berkala dan mematuhi standard keselamatan serta kualiti.

Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan resit pembelian petrol dan laporan pemeriksaan bengkel sebagai bukti sokongan. Aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, talian 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *