

KEKANG NORMALISASI KEGANASAN MAYA: AKTA BAHARU PERISAI BELIA NEGARA
APA KATA AHLI AKADEMIK?
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah drastik membendung normalisasi keganasan digital dalam kalangan belia menerusi pewartaan Peraturan-Peraturan Keselamatan Dalam Talian (Tribunal Rayuan) 2025 yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Beliau berkata langkah bersejarah di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) ini disifatkan sebagai anjakan penting bagi memperkukuh tadbir urus dan juga keselamatan ruang siber negara.
Menurutnya, pakar akademik sebelum ini sering memberi amaran, pendedahan berterusan golongan belia kepada lambakan media digital ganas, khususnya aplikasi permainan video interaktif, banyak menyumbang kepada lonjakan tingkah laku agresif dan antisosial.
“Berbanding tayangan televisyen tradisional, permainan video moden kini menuntut tahap interaksi secara aktif”
“Lebih membimbangkan, tindakan agresif dalam dunia maya ini sering diraikan dan diberi ganjaran, sekali gus mematikan tindak balas empati lalu menormalisasikan kelakuan ganas tersebut,” kata beliau dalam temu bual khas Jendela Madani bagi mengulas isu tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata krisis moral dan juga kesukaran mengawal emosi ini dilaporkan menjadi semakin meruncing pada era pascapandemik susulan trend peningkatan masa skrin secara mendadak.
Katanya, selain itu, dinamik rakan sebaya dan faktor budaya Asia juga didapati sangat mempengaruhi cara pemikiran belia dalam menerjemah bentuk kandungan agresif tersebut.
ANCAMAN BERBAHAYA
Menurut beliau, bagi mengekang ancaman berbahaya ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini telah diberi bidang kuasa penuh untuk mengeluarkan arahan bertulis bagi menyekat mana-mana penularan kandungan yang boleh memudaratkan belia kita.
“Dalam pada itu, bagi menjamin tahap ketelusan perundangan dan memastikan kelancaran fungsi institusi semak dan imbang, sebuah Tribunal Rayuan telah diwujudkan secara khusus.”
“Menerusi sistem tatacara ini, mana-mana pihak penyedia platform yang berasa terkilan dengan segala keputusan MCMC berhak untuk memfailkan notis rayuan rasmi dalam tempoh 45 hari selepas tarikh arahan asal dikeluarkan” jelas beliau lagi.
BAYARAN DENDA PEMFAILAN SEBANYAK RM1,000
Ujar Dr Siti Faidul Maisarah, bagi mengelakkan keistimewaan sistem keadilan ini daripada disalah gunakan, pihak perayu akan dikenakan bayaran denda pemfailan sebanyak RM1,000.
Ujar beliau, struktur pentadbiran sebegini secara langsung membuktikan bahawa sistem keselamatan siber negara sedang diuruskan secara begitu ketat dan amat sistematik.
“Prosiding perbicaraan tribunal ini amnya akan sentiasa dijalankan secara terbuka kepada umum bagi membina integriti serta menolak persepsi negatif bahawa keputusan dibuat secara tersembunyi.”
“Bagaimanapun, Pengerusi Tribunal mempunyai budi bicara mutlak untuk mengarahkan agar perbicaraan tersebut diteruskan melalui sesi tertutup demi objektif melindungi segala maklumat yang sangat sensitif serta amat sulit.
“Selepas meneliti semua bukti, Tribunal mempunyai kuasa pemutus untuk mengesahkan, mengubah, mahupun membatalkan sepenuhnya ketetapan asal pihak Suruhanjaya.
“Usaha pemerkasaan perundangan siber baharu ini amat bertepatan dengan aspirasi Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik di bawah Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ‘’ jelas beliau lagi.
