
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Kerajaan memberi kebebasan kepada pemegang konsesi lebuh raya untuk memilih sistem pembayaran tol berdasarkan keperluan operasi masing-masing menerusi pendekatan perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pemegang konsesi boleh memilih platform pembayaran tol digital JustGO yang dibangunkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) atau menggunakan sistem alternatif di pasaran.
Beliau berkata, pelaksanaan pendekatan itu tidak melibatkan kos kepada kerajaan, manakala keputusan pemilihan teknologi diserahkan sepenuhnya kepada pemegang konsesi.
JustGO menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan (ANPR) bagi menyokong pelaksanaan konsep Multi-Lane Free Flow (MLFF), yang membolehkan kenderaan melalui plaza tol tanpa berhenti, sekali gus berpotensi melancarkan trafik dan mengurangkan risiko kemalangan.
Ahmad berkata demikian selepas merasmikan penutupan Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13 dan Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.
Persidangan tiga hari itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta, termasuk 32 delegasi antarabangsa dari 10 negara, selain menampilkan 121 kertas kerja teknikal berkaitan kejuruteraan jalan.
Penganjuran itu turut memperkukuh perkongsian kepakaran, teknologi dan inovasi bagi menyokong pembangunan infrastruktur jalan yang berkualiti, mampan dan berdaya tahan.
