PERUNTUKAN LEBIH RM130 JUTA BUKA LEMBARAN BAHARU MEMACU EKONOMI JINGGA NEGARA

PETALING JAYA, 15 Oktober 2026 – Pengumuman peruntukan sebanyak lebih RM130 juta bagi memperkasakan industri perfilman, muzik dan industri kreatif tempatan menerusi Belanjawan 2027 merupakan satu langkah tepat dalam memperkukuh kedudukan industri kreatif sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan bakat serta pengukuhan identiti negara.

Bertepatan dengan tema “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Malaysia bukan sahaja mempunyai tempat di pasaran domestik, malah berupaya menembusi pasaran serantau dan global.

Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures, YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan industri kreatif terus dipacu sebagai sektor yang berdaya saing, bernilai tinggi, sekali gus menyumbang dengan lebih besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sokongan yang diumumkan membuka ruang lebih luas kepada penggiat industri untuk mengembangkan bakat, menghasilkan karya berkualiti serta membina perniagaan kreatif yang lebih berdaya tahan dan mampan. Landskap industri yang berlandaskan teknologi, kandungan digital dan persaingan global menuntut agar kreativiti tidak seharusnya berhenti pada penghasilan karya semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang lebih besar.

Selain itu, pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan turut bakal memperkukuh ekosistem industri dengan merangsang permintaan terhadap karya tempatan, memperluas akses masyarakat kepada kandungan berkualiti serta menyokong peningkatan pendapatan penggiat industri.

Lebih penting, usaha ini dapat membantu mewujudkan pasaran domestik yang lebih kukuh sebagai asas kepada pertumbuhan dan pengembangan karya serta bakat Malaysia ke peringkat yang lebih luas.

MyCreative Ventures akan terus memainkan peranan menyokong pembangunan ekosistem ekonomi kreatif negara dengan memberi penekanan kepada penciptaan nilai, pengukuhan kapasiti pemain industri, pembangunan dan pengkomersialan harta intelek serta peluasan akses kepada pasaran dan peluang perniagaan.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *