
KUALA LUMPUR, 13 Okt — Keadaan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara negara sejak 8 Ogos lepas dijangka beransur pulih dalam tempoh dua minggu susulan perubahan corak angin, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun sejak 9 Oktober, sebelum monsun timur laut dijangka bermula pada penghujung bulan ini.
Beliau berkata jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah Indonesia, termasuk Kalimantan dan Sumatera, yang turut menjejaskan kualiti udara di Malaysia, khususnya Sarawak.
Sebagai langkah mitigasi, kerajaan melaksanakan 11 siri operasi pembenihan awan dari 30 Ogos hingga 15 Oktober dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Syed Ibrahim menegaskan bahawa perubahan cuaca bukan penyelesaian jangka panjang. Sebaliknya, pencegahan kebakaran di punca, penguatkuasaan undang-undang domestik dan kerjasama serantau perlu diperkukuh bagi mengelakkan kejadian berulang.
Beliau turut menjelaskan bahawa cabaran utama penguatkuasaan rentas sempadan ialah mendapatkan bukti mencukupi untuk mengenal pasti punca pencemaran dan pihak yang bertanggungjawab.
Setakat ini, kementerian belum menerima maklumat rasmi daripada Kementerian Luar atau Kementerian Perladangan dan Komoditi berhubung penglibatan syarikat Malaysia dalam kejadian pembakaran terbuka di Indonesia.
Perkara itu dijelaskan ketika menjawab isu jerebu rentas sempadan dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, susulan gesaan beberapa Ahli Parlimen supaya tindakan lebih tegas, ketelusan perkongsian data titik panas serta perlindungan golongan berisiko dipertingkatkan.
