
KANDUNGAN DISYAKI HINA ISLAM, INDIVIDU DIRAKAM PERCAKAPAN
CYBERJAYA, 10 Oktober 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam yang dimuat naik menerusi platform media sosial Facebook.
Kandungan berkenaan dibuat berkait penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 9 Oktober 2026.
Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan. Satu (1) unit telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Keterangan gambar: MCMC mengambil rakaman percakapan individu berkenaan untuk membantu siasatan.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC
