
KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) memperkukuh hubungan kerjasama dalam bidang persaingan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di Grand Hyatt Kuala Lumpur, hari ini.
MoU berkenaan menyediakan rangka kerja bagi kedua-dua pihak mempertingkat kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, khususnya susulan hubungan ekonomi yang rapat antara Malaysia dan Singapura serta perkembangan pesat teknologi dan pasaran digital.
Kerjasama itu merangkumi pertukaran maklumat dan pengalaman, perkongsian pengetahuan, pembangunan kapasiti, kerjasama teknikal serta perkara berkaitan penguatkuasaan yang mempunyai dimensi rentas sempadan, tertakluk kepada undang-undang dan keperluan kerahsiaan kedua-dua negara.
PERKUKUH KERJASAMA DAN KEPAKARAN
Selain aspek penguatkuasaan, MoU berkenaan turut membuka peluang kepada pegawai kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan undang-undang dan dasar persaingan, berkongsi pengalaman institusi serta membangunkan kepakaran dalam bidang berkepentingan bersama.
Kerjasama tersebut membolehkan MyCC dan CCS memanfaatkan pengalaman masing-masing serta meneroka pendekatan yang bersesuaian dengan keadaan pasaran di negara masing-masing.
MoU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, YBhg. Datuk Haji Iskandar bin Ismail dan Ketua Eksekutif CCS, Encik Alvin Koh.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar dan Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura, Dr. Beh Swan Gin.
MoU ANTARABANGSA KELIMA MyCC
MoU tersebut merupakan MoU antarabangsa kelima MyCC dan menjadi antara usaha suruhanjaya itu memperluas serta memperkukuh hubungan dengan pihak berkuasa persaingan di peringkat antarabangsa.
Menurut Datuk Haji Iskandar Ismail, kerjasama antarabangsa semakin penting apabila perlakuan dan perkembangan pasaran tidak semestinya terhad dalam sempadan sesebuah negara.
Beliau berkata MoU itu memberi peluang kepada MyCC untuk mempelajari pendekatan berbeza dan terus meningkatkan standard dalam melaksanakan mandatnya demi manfaat rakyat.
LEBIH 250 SYARIKAT DIAMBIL TINDAKAN
MyCC yang ditubuhkan pada April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 merupakan badan bebas yang bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.
Akta berkenaan bertujuan melindungi proses persaingan bagi merangsang produktiviti, keusahawanan berterusan dan inovasi dalam kalangan perusahaan, sekali gus mewujudkan lebih banyak pilihan produk atau perkhidmatan serta kualiti yang lebih baik pada harga berpatutan kepada pengguna.
Sehingga kini, MyCC memaklumkan telah mengambil tindakan terhadap lebih 250 syarikat berkaitan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan, dengan jumlah keseluruhan penalti kewangan yang dikenakan melebihi RM687.9 juta.
MyCC kini memberi tumpuan termasuk kepada cadangan pindaan Akta bagi memperkukuh usaha menangani kartel tipuan bida, kartel dalam sektor makanan dan pertanian serta cabaran perundangan dan dasar persaingan susulan perkembangan ekonomi digital.
Sumber: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
