PMX: KECEMERLANGAN PROFESIONAL PERLU SEIRING KEBERANIAN MENOLAK RASUAH

KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kecemerlangan dan pengkhususan dalam bidang kepakaran perlu disertai nilai, etika serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

Beliau berkata sesebuah negara atau tamadun tidak hanya dibangunkan melalui pembangunan fizikal atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada golongan berilmu, berprinsip dan memahami bahawa setiap kepakaran hadir bersama amanah.

MENGEJAR KECEMERLANGAN PERLU DISEIMBANGKAN

Menurut Anwar, usaha mengejar kecemerlangan dan pengkhususan perlu diseimbangkan dengan kesedaran terhadap persoalan masyarakat dan kemanusiaan.

Beliau memetik pemikiran ahli falsafah Ortega y Gasset mengenai “barbarism of specialization”, iaitu keadaan apabila seseorang terlalu menguasai satu bidang tetapi menjadi asing terhadap permasalahan masyarakat dan kemanusiaan.

Anwar berkata kepakaran perlu dipadukan dengan nilai, manakala kecemerlangan pula perlu disertai itqan fil amal, profesionalisme dan keberanian untuk menyatakan kebenaran.
Beliau turut menegaskan kepentingan menolak rasuah, ketirisan dan salah laku dalam usaha membina sebuah negara yang lebih baik.

KEPINTARAN RAKYAT

Dalam pada itu, Anwar berkata kekuatan Malaysia bukan sekadar terletak pada kepintaran rakyat, tetapi pada keupayaan menggabungkan kepintaran dengan hikmah serta menjadikan kepelbagaian kaum, agama dan wilayah sebagai kekuatan bersama.

Beliau berkata Hari Ikhtisas Malaysia yang disambut pada 29 September perlu dimaknai sebagai lebih daripada sekadar penghargaan kepada golongan profesional.

” Sebaliknya menjadi peringatan bahawa ilmu merupakan wahana untuk meningkatkan martabat negara dan menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang. ” jelas PMX dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *