
LAWATAN RASMI MENTERI PENGANGKUTAN KE BEIJING MEMPERKUKUH KERJASAMA PENGANGKUTAN MALAYSIA–CHINA
BEIJING, 23 September 2026 — Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, telah mengadakan lawatan rasmi ke Beijing bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan China dalam sektor pengangkutan.
Dalam rangka lawatan tersebut, YB Menteri telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Pengangkutan China, TYT Liu Wei. Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.
Susulan mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan Malaysia–China bagi pihak kerajaan masing-masing.
MoU berkenaan mewujudkan kerangka rasmi bagi kerjasama strategik dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim dan udara serta sektor logistik. Antara bidang tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan AI, pengangkutan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon.
Kerjasama ini dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China dan seterusnya memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.
YB Menteri turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Civil Aviation Administration of China (CAAC).
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Dato’ Kapten Norzman bin Mahmud, dan Timbalan Pentadbir CAAC, Hu Zhenjiang. Turut menyaksikan pemeteraian itu ialah Pengerusi CAAM, Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi.
Kerjasama CAAM–CAAC meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.
MoU ini akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara.
YB Menteri turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude. Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.
Lawatan ini mencerminkan hubungan erat dan matang antara Malaysia dengan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan tersebut kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan.
KEMENTERIAN PENGANGKUTAN
23 SEPTEMBER 2026
