

BENCANA BANJIR:
ANWAR, PM NEPAL BINCANG NASIB 55 RAKYAT MALAYSIA YANG MASIH BELUM DITEMUI
KUALA LUMPUR, 22 September 2026 β Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, sebelum berlepas ke China hari ini.
Menurut Anwar, beliau bagi pihak rakyat Malaysia menyampaikan simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal susulan bencana besar yang melanda negara itu bulan lalu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terus menjalankan usaha mencari dan mengesan mangsa, termasuk rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikenal pasti status mereka.
Dalam perbualan itu, Shah memaklumkan bahawa keadaan di lapangan masih amat rumit berikutan skala kemusnahan yang besar akibat bencana tersebut.
HARAPAN KELUARGA
Anwar berkata beliau turut menyampaikan keresahan serta harapan keluarga kepada Shah, khususnya waris 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
CADANG MEKANISME RASMI UNTUK BANTU WARIS
Anwar turut membangkitkan keperluan mewujudkan satu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan operasi pencarian tidak memberikan kepastian mengenai status mereka.
Menurut beliau, mekanisme berkenaan penting bagi membantu keluarga terkesan menguruskan urusan berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
Beliau berkata akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Nepal bagi memperincikan cadangan tersebut.
Pada masa sama, Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya walaupun keadaan di kawasan terjejas semakin mencabar.
Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia berkenaan sebelum ini turut diteruskan melalui kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Nepal. Pasukan SMART yang menjalankan operasi di Nepal telah melaksanakan pencarian darat serta tinjauan udara menggunakan dron di kawasan yang boleh diakses dengan selamat.
Wisma Putra pada 14 September memaklumkan bahawa kepulangan pasukan SMART tidak bermakna usaha mengesan rakyat Malaysia berkenaan dihentikan, manakala pihak berkuasa Nepal terus menjalankan usaha pencarian, pengesahan dan pengenalpastian.
Anwar berharap segala ikhtiar yang sedang digerakkan akan membuahkan hasil serta memberikan kepastian yang amat dinantikan oleh keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut.
