
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi potensi krisis kewangan dengan memberi tumpuan kepada daya tahan resolusi, perlindungan digital dan risiko teknologi menerusi Rancangan Korporat PIDM 2026-2028.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM Afiza Abdullah berkata pendekatan itu penting bagi memastikan sistem kewangan kekal selamat, dipercayai dan berdaya tahan sekiranya institusi anggota berdepan tekanan atau kegagalan.
Beliau berkata PIDM turut melaksanakan latihan simulasi secara berkala serta Rangka Kerja Penilaian Kebolehselesaian (RAF) bagi memperkukuh kesiapsiagaan institusi anggota dan memastikan proses penyelesaian dapat dilaksanakan secara teratur.
Dalam masa sama, PIDM memberi perhatian kepada ancaman siber dan risiko teknologi baharu yang berpotensi menjejaskan sistem, operasi serta proses kritikal.
Menurutnya, PIDM juga berhasrat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan resolusi Islamik di peringkat global, khususnya dalam memastikan institusi kewangan Islam dapat diselesaikan secara teratur dengan mengekalkan prinsip Syariah.
Ketika ini, PIDM mempunyai 45 bank anggota, termasuk lima bank digital, serta 48 anggota penginsuran. Sistem Insurans Deposit Malaysia pula memberikan perlindungan sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit bagi setiap bank anggota.
– BERNAMA
