SASARAN 80 PERATUS PENYEDIA SEWA BELI MENAWARKAN PEMBIAYAAN DI BAWAH KERANGKA BAHARU AKTA SEWA BELI (PINDAAN) 2026 MENJELANG DISEMBER 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Festival Pengguna 2026 (CONFEST 2026) bermula 17 hingga 20 September 2026, bertempat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Dengan tema “Suara Kita: Kuasa Kita”, CONFEST 2026 merupakan acara kemuncak kepada Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak pengguna, perlindungan pengguna serta amalan kepenggunaan yang bertanggungjawab.

Penganjuran ini merupakan platform untuk menghimpunkan penggerak advokasi kepenggunaan KPDN termasuk Kelab Pengguna Sekolah, Gerakan Pengguna Siswa, Gerakan Pengguna Daerah, Gerakan Pengguna Negeri, Skuad Kita Pengguna, NGO serta agensi Kerajaan.

Antara pengisian utama CONFEST 2026 adalah pertandingan Battle of the Band, Sketsa Kepenggunaan dan Bicara Berirama Kepenggunaan yang disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti yang telah terpilih dalam saringan peringkat awal mengikut negeri dan zon masing-masing. Manakala acara Fun Walk dan Fun Run Kita Pengguna 2026 penyertaannya terbuka kepada semua pengunjung dan orang ramai yang berminat. Selain itu, pelbagai reruai agensi kerajaan dan rakan strategik KPDN dibuka untuk para pengunjung mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.

AKTA SEWA BELI (PINDAAN) 2026

Antara fokus agenda kepenggunaan pada tahun 2026 adalah reformasi undang-undang yang terkait dengan hak dan kepentingan pengguna yang meliputi aspek pelaksanaan, pindaan dan penggubalan kerangka perundangan berkaitan. Antara ikhtiar yang telah dilaksanakan bermula tahun lalu ialah memperkukuh kerangka perundangan berhubung ekosistem kredit pengguna. Selain daripada penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) di bawah kawal selia oleh Kementerian Kewangan, ikhtiar dalam memperkukuh ekosistem kredit bagi menambah baik perlindungan pengguna adalah melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 menerusi pindaan yang telah dilaksanakan pada 2026.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 bertujuan menterjemahkan prinsip keadilan kredit pengguna. Antara inti pati utama pindaan yang telah dibuat adalah memansuhkan penggunaan Kadar Faedah Tetap Sama Rata (flat rate) dan kaedah Peraturan 78 (rule of 78). Di bawah kaedah tersebut, sebahagian besar bayaran ansuran pada peringkat awal tempoh pinjaman digunakan untuk membayar faedah, manakala hanya sebahagian kecil diperuntukkan kepada bayaran prinsipal. Keadaan ini menyebabkan peminjam yang ingin menyelesaikan pinjaman lebih awal terpaksa menanggung baki pinjaman yang tinggi dan tidak mencerminkan kos sebenar pinjaman.

Peruntukan baharu melalui pindaan yang telah dibuat memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap. Melalui kaedah ini, faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa, sekali gus menjadikan penyelesaian awal pinjaman lebih telus dan adil kepada pengguna.

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas diwartakan pada 30 Januari 2026. Manakala, tempoh peralihan telah diberikan kepada penyedia sewa beli yang memerlukan masa untuk menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses selaras dengan keperluan baharu.

Selain itu, seperti yang diumumkan oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada bulan Disember 2025, institusi perbankan akan juga menawarkan diskaun ihsan atau goodwill discount bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, iaitu 1 Jun 2026. Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan peraturan 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal, bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu, iaitu berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki, di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.

Di peringkat institusi perbankan yang menyediakan perkhidmatan sewa beli, setakat 18 September 2026, sebanyak 14 bank telah pun menawarkan pembiayaan kaedah baki berkurangan. Berdasarkan sesi libat urus dengan institusi perbankan, sebanyak 6 buah bank yang lain telah memberikan komitmen untuk melengkapkan proses peralihan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026.

Secara keseluruhan, terdapat sebanyak 429 entiti di kalangan institusi perbankan dan syarikat penyedia sewa beli yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia (AHPCAM).

Bagi memastikan peralihan yang tersusun, institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli yang belum bersedia sepenuhnya diberikan tempoh penyesuaian sehingga 31 Mac 2027. KPDN akan terus melaksanakan libat urus bersama pihak industri bagi memastikan pelaksanaan peraturan baharu ini berjalan lancar, tanpa menjejaskan akses pengguna kepada pembiayaan sewa beli.

Menjelang akhir tahun 2026, sasaran ditetapkan sebanyak 80 peratus penyedia sewa beli akan menawarkan pembiayaan sewa beli dengan pematuhan di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dan kewajipan pematuhan sepenuhnya akan bermula 1 April 2027.

Reformasi undang-undang ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan berintegriti, meningkatkan tadbir urus industri, serta melindungi hak dan kepentingan rakyat sebagai pengguna di seluruh negara.

DATUK ARMIZAN MOHD ALI
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup

Pulau Pinang
19 September 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *