
IPOH, 17 Sept (Bernama) — Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM117,000 bagi melaksanakan pelbagai kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata peruntukan itu disalurkan berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh setiap pertubuhan berkenaan.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan masyarakat dan komuniti di kawasan masing-masing.
Antara penerima ialah Pertubuhan Proaktif Rakyat Parlimen Tambun yang menerima RM25,000 bagi Program Kemasyarakatan 2026, manakala Kelab Muda Mudi Inspirasi Ulu Kinta menerima RM20,000 untuk program Rise of Tambun.
Persatuan Penganut Dewi Muthumariamman pula menerima RM12,000, Surau Kampung Sayong Hilir, Kuala Kangsar RM8,000, manakala Persatuan Kebajikan Komuniti Penyayang Kuala Kangsar Perak menerima RM10,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata hubungan Malaysia dengan negara anggota BRICS terus diperkukuh menerusi pertemuan dua hala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin negara berkenaan.
Beliau berkata lawatan kerja Perdana Menteri ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi pada 11 Sept menghasilkan manfaat melalui pertemuan dan perbincangan dengan beberapa pemimpin, termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Muhammad Kamil turut menyelar tindakan sesetengah pemimpin kerajaan yang mengeluarkan kenyataan politik seolah-olah menyerang Perdana Menteri.
Beliau mendakwa terdapat kelompok tertentu yang cuba mewujudkan ketidakstabilan politik bagi memenuhi kepentingan kelompok pimpinan tertentu dalam parti masing-masing.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan kekal komited memastikan segala dasar dan perancangan dilaksanakan demi kepentingan serta manfaat rakyat secara keseluruhan.
— BERNAMA
