

PUTRAJAYA, 14 September 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh agenda transformasi digital kementerian menerusi pelancaran AI Digital Human yang menjadi satu inovasi berteraskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan bakal mempertingkat kecekapan penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri itu juga merupakan satu lagi pencapaian penting KDN dalam memacu reformasi digital dan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kementerian agar lebih pantas, telus, responsif dan berimpak tinggi.
AI Digital Human merupakan salah satu inisiatif di bawah aspirasi ‘AI for KDN, KDN for AI’ yang memanfaatkan teknologi AI sebagai medium interaktif baharu dalam komunikasi antara KDN dengan rakyat. Melalui inisiatif ini, pengguna boleh berinteraksi secara langsung dengan wakil maya KDN untuk mendapatkan maklumat dan jawapan berkaitan perkhidmatan serta perkara-perkara di bawah bidang kuasa kementerian.
Teknologi ini bagaimanapun bukan bertujuan menggantikan peranan Menteri atau pegawai kerajaan, sebaliknya menjadi pelengkap kepada saluran penyampaian perkhidmatan sedia ada. Jika sebelum ini rakyat perlu mendapatkan maklumat dengan membuat carian melalui portal, menu atau dokumen, kini AI Digital Human membolehkan pengguna mengemukakan pertanyaan secara terus dan menerima penerangan melalui perbualan secara semula jadi.
Keunikan AI Digital Human turut diperkasakan dengan penggunaan teknologi holografik yang menawarkan pengalaman interaksi seakan-akan berkomunikasi secara bersemuka dengan menampilkan persona YB Menteri Dalam Negeri. AI Digital Human turut berupaya berinteraksi dalam 12 bahasa, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab, sekali gus memperluas akses kepada maklumat KDN kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Pelancaran AI Digital Human sekali gus menandakan satu lagi langkah penting KDN dalam membangunkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang lebih pintar, responsif dan berorientasikan rakyat, selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan perkhidmatan awam pada masa hadapan.
